JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang bertindak merempuh pintu pagar kediaman bekas teman lelakinya berjaya ditahan pihak polis di Gelang Patah, di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Faiz Ammar Abdullah berkata, suspek yang cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditahan sekitar jam 5 pagi di kawasan Plaza Tol Lima Kedai, di sini. 

Katanya, ketika ditahan, suspek yang berusia 20 tahun itu berada di bawah pengaruh dadah jenis benzo hasil ujian air kencing yang dibuat ke atasnya. 

Menurut Faiz, wanita itu, terdahulu dilaporkan cuba mengugut kakak kepada bekas teman lelakinya itu untuk membakar premis perniagaan motosikal milik keluarga mereka. 

"Sebelum kejadian itu berlaku, satu laporan polis dibuat pengadu (kakak kepada bekas teman lelaki suspek) yang mengadu menerima ugutan melalui aplikasi WeChat daripada suspek yang hendak membakar kedai perniagaan milik keluarganya dan juga merosakkan harta keluarga pengadu.

"Suspek turut mengirimkan sebuah video yang memaparkan seseorang sedang mencurahkan cecair disyaki petrol di hadapan kedai perniagaan mangsa,

"Akibat bimbang dengan ugutan tersebut pengadu telah menyalurkan maklumat kepada pihak polis,

"Bertindak atas aduan itu, pada 14 Ogos 2022, sepasukan polis menuju ke lokasi rumah pengadu di Taman Perling sebelum didapati sebuah kereta dipandu suspek telah merempuh pintu pagar bahagian hadapan rumah pengadu dan terus melarikan diri dengan kereta sama.

"Pihak polis telah mengekori dan berjaya menahan suspek di Tol Lima Kedai, Johor Bahru," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Pintu pagar rumah pengadu mengalami kerosakan akibat perbuatan terbabit dan nilai kerugian dianggarkan lebih kurang RM15,000. - Foto PDRM

Katanya lagi, pintu pagar dan juga kenderaan mangsa mengalami kerosakan akibat perbuatan terbabit dan nilai kerugian dianggarkan sekitar RM15,000.

"Siasatan polis mendapati suspek adalah bekas kekasih kepada adik lelaki pengadu dimana pasangan itu didapati telah putus hubungan pada bulan Julai 2022," tambahnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama.

Manakala wanita itu turut disiasat mengikut seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.