JITRA: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini mengesahkan tidak lagi memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata ia berikutan kontrak perkhidmatannya dengan perbadanan itu telah tamat pada 17 Jun lepas dan tidak diperbaharui.

"Setakat saya duduk di PTPTN selama empat tahun saya agak bangga dengan rekod yang diusahakan di PTPTN.

"Sebab kita fokus penyelesaian jangka panjang kepada masalah hutang anak muda dan penyelesaiannya ialah dengan menggalakkan penabungan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis ibadah korban di Kampung Machang, Tunjang di sini hari ini.

Beliau berkata ketika mengambil alih jawatan pengerusi PTPTN, kutipan deposit tahunan perbadanan itu adalah sekitar RM700 juta dan selepas empat tahun kutipan kini mencecah RM4 bilion setahun.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan hasil telah diusahakan PTPTN sepanjang tempoh itu selain pemberian moratorium pembayaran semula pinjaman yang membantu peminjam ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Wan Saiful yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) dilantik sebagai pengerusi PTPTN berkuat kuasa 18 Jun 2018.

-- BERNAMA