SHAH ALAM: Dua individu maut dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, dekat sini, 4.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata insiden berlaku apabila beberapa kumpulan 'mat rempit' melakukan aksi tunggangan secara laju dan berbahaya di sepanjang jalan dari Kompleks Sukan Pandamaran ke Pelabuhan Klang sebelum berpatah balik serta membuat beberapa pusingan.

"Salah sebuah motosikal telah terbabas di atas jalan raya lalu dirempuh oleh beberapa motosikal dari kumpulan yang lain.

"Susulan itu, dua daripada penunggang, masing-masing berusia 16 dan 21 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi dibawa ke hospital," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Khairul Nizam di talian 010-2452144.

Cha berkata lokasi itu sering dijadikan litar oleh golongan remaja pada malam minggu walaupun sudah beberapa kali operasi dan tangkapan dijalankan.

Susulan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya lebih peka terhadap aktiviti anak-anak agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram yang boeh mengancam nyawa dan pengguna jalan raya.

Terdahulu tular video berdurasi 17 saat memaparkan pelanggaran beberapa motosikal di jalan raya.

-- BERNAMA