KUALA LUMPUR: Jumlah suntikan harian vaksin COVID-19 negara mencatat angka tertinggi pada Selasa.

Sebanyak 215,876 dos diberikan sekali gus mencapai sasaran angka lebih 200,000 dos harian.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) jumlah pemberian itu membabitkan 160,226 dos pertama manakala 55,650 untuk dos kedua.



Katanya pencapaian itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin seluruh negara setakat ini adalah 4.9 juta dos.

Menerusi infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasmi JKJAV, jumlah kumulatif penerima vaksin dos pertama 3.4 juta manakala dos kedua 1.5 juta.


Negeri yang mencatat penerima vaksin tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan lebih 730,000 dos, diikuti Selangor dengan lebih 647,000 dos.

Negeri lain yang mencatat jumlah tinggi termasuk Sarawak dengan lebih 558,000 dos serta Johor dengan lebih 465,000 dos.

Dalam pada itu, jumlah pendaftaran vaksin COVID-19 juga meningkat hari demi hari, kini dengan lebih 13.81 juta.

Ia mewakili 59 peratus populasi sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).