ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 21 Ogos 2024.


1. PM Anwar bertemu tiga syarikat gergasi India

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan tiga syarikat gergasi korporat India iaitu Tata Group, Emami Agro Tech Limited dan HCL Technologies.



2. India bakal tubuh kursi Tiruvalluvar di Universiti Malaya - Modi

India bakal menubuhkan kursi Tiruvalluvar di Universiti Malaya (UM) dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri India, Narendra Modi.


3. 35 rakyat Pakistan maut dalam kemalangan bas di Iran

Sekurang-kurangnya 35 penumpang maut dan 15 lagi cedera apabila sebuah bas yang dinaiki terbalik di sebuah pusat pemeriksaan di Iran.


4. Moscow alami serangan dron besar-besaran - Kementerian Pertahanan Rusia

Rusia memusnahkan 45 dron Ukraine semalaman pada Selasa dan Rabu, termasuk 11 dron di wilayah Moscow, menurut Kementerian Pertahanan Rusia.


5. COVID-19: Korea Selatan utamakan pesakit berisiko tinggi menjelang kemuncak jangkitan

Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan akan memberi tumpuan terhadap rawatan bagi pesakit COVID-19 berisiko tinggi ketika gelombang peningkatan kes semasa musim panas tahun ini dijangka mencapai kemuncaknya pada akhir bulan ini.


6. Harapan jumpa mangsa terselamat tipis, insiden kapal layar karam di Sicily

Pasukan penyelamat pada Selasa meneruskan usaha mencari mangsa yang terselamat daripada insiden sebuah kapal layar karam di pesisir pantai Sicily.


7. Pemilihan Presiden AS: Harris jangka pertandingan sengit

Calon presiden Demokrat Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris berikrar untuk berjuang habis-habisan pada fasa akhir kempen, menggesa partinya untuk bersiap sedia menghadapi "perlumbaan sengit" menentang Donald Trump.


8. Perkhidmatan kereta api Bangkok-Padang Besar-Butterworth akan disambung semula

Malaysia dan Thailand bersetuju untuk menyambung semula perkhidmatan kereta api terus antara Bangkok, Padang Besar dan Butterworth, menurut State Railway of Thailand (SRT).


9. China kritik tarif tidak adil Suruhanjaya Eropah terhadap kenderaan elektrik

Kementerian Perdagangan China mengkritik rancangan Suruhanjaya Eropah untuk mengenakan duti import sehingga 36.3 peratus ke atas kenderaan elektrik (EV) buatan China.


10. Varian COVID-19 KP.3.1.1 dominan di AS ketika jangkitan terus meningkat

arian COVID-19 KP.3.1.1, yang kini menjadi varian SARS-CoV-2 utama yang tersebar di Amerika Syarikat, menyebabkan peningkatan kes jangkitan di negara itu, menurut data terkini dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.