Ketua Kluster Pfizer Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina, Deborah Seifert berkata, MyPELINDUNG kekal sebagai platform penting untuk pendidikan serta penglibatan awam.
"Kami komited melenyapkan tanggapan salah, menyediakan maklumat tepat dan membantu rakyat Malaysia memahami cara bagaimana untuk hidup dengan selamat bersama COVID-19," katanya semasa pelancaran kempen itu, di sini, pada Isnin.
Bertemakan 'Lindungi Malaysia, Sihat Bersama' kempen MyPELINDUNG menekankan kepentingan kewaspadaan berterusan, mengutamakan vaksinasi dan mendapatkan rawatan untuk COVID-19 tepat pada masa terutama bagi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu yang mempunyai sejarah perubatan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kawalan Jangkitan dan Penyakit Berjangkit Malaysia (MyICID), Dr Shaharudeen Kamaludeen menyentuh mengenai kepentingan untuk sentiasa mengemas kini vaksinasi COVID-19.
"COVID-19 akan terus wujud sama seperti penyakit lain yang kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita harus leka," katanya.
Kempen MyPELINDUNG satu usaha kolaboratif melibatkan MyICID, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Bulan Sabit Merah Malaysia, Diabetes Malaysia (DM) dan Pfizer Malaysia. - BERNAMA