Amazon arahkan pekerja kembali bekerja di pejabat lima hari seminggu
Pekerja Amazon diarah kembali bekerja sepenuh masa di pejabat, dengan menekankan kepentingan bekerja secara bersemuka.
Bernama
Tue Sep 17 2024
Keputusan Amazon dibuat selepas banyak syarikat lain mengarahkan pekerja mereka kembali ke pejabat selepas berbulan-bulan bekerja dari rumah semasa pandemik. - Foto Reuters
SAN JOSE (California): Ketua Pegawai Eksekutif Amazon Andy Jassy mengumumkan pada Isnin bahawa pekerja Amazon akan kembali bekerja sepenuh masa di pejabat, menekankan kepentingan bekerja secara bersemuka, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Bermula Januari, pekerja dijangka bekerja di pejabat lima hari seminggu, dengan pilihan untuk bekerja dari rumah dalam situasi tertentu seperti menjaga anak yang sakit atau memberi tumpuan kepada tugas-tugas khusus, seperti sebelum pandemik COVID-19.
Ketika ini, pekerja Amazon dibenarkan bekerja dari rumah dua hari seminggu.
Jassy juga memaklumkan bahawa Amazon akan mengembalikan susunan meja yang ditetapkan sebelum ini.
Keputusan Amazon dibuat selepas banyak syarikat lain mengarahkan pekerja mereka kembali ke pejabat selepas berbulan-bulan bekerja dari rumah semasa pandemik.
Syarikat teknologi Amerika Syarikat yang lain, seperti Apple, memilih untuk mengimbangi kerja dengan tiga hari seminggu di pejabat.