ISTANBUL: Gergasi e-dagang Amerika Syarikat (AS) Amazon, pada Jumaat mengumumkan pelaburan bernilai AS$4 bilion dalam syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic, sebagai langkah kerjasama strategik, menurut laporan Agensi Anadolu (AA).

Anthropic akan menggunakan penyelesaian awan Amazon, Amazon Web Services (AWS), sebagai penyedia utamanya dan memanfaatkan cip Trainium dan Inferentia AWS untuk melatih model AI miliknya.

"Kami akan terus melangkaui batasan untuk membantu pelanggan mencapai kejayaan dengan teknologi AI generatif," kata Ketua Pegawai Eksekutif AWS, Matt Garman, dalam satu kenyataan.

Anthropic terkenal dengan keluarga Claude model bahasa berskala besar (LLM) serta alatan AI lain yang bersaing dengan ChatGPT keluaran OpenAI.

Pelaburan terbaru itu berikutan pengumuman awal Amazon untuk melabur AS$1.25 bilion dalam Anthropic pada September 2023 dan AS$2.75 bilion pada Mac 2024.

Jumlah pelaburan keseluruhan Amazon dalam Anthropic kini mencecah AS$8 bilion. - BERNAMA