KUALA LUMPUR: Projek pembinaan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS)  dijangka siap pada Disember 2025 dan dijadual beroperasi pada Januari 2026.

Menteri Pengajian Tinggi,  Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata hospital berkenaan dibina dengan kapasiti 400 katil, 25 bilik pembedahan, 40 katil rawatan intensif atau rapi serta 145 buah klinik pakar.

Ujar beliau, HUMS juga berkonsepkan hospital pintar dan keseluruhan operasinya menggunakan sistem digital  maklumat hospital lengkap.

"HUMS akan menjadi pusat pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar perubatan dan kejururawatan; menjalankan penyelidikan perubatan dan sains kesihatan; serta menawarkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada orang awam.

"Antara perkhidmatan yang ditawarkan HUMS termasuk khidmat rundingan dan rawatan doktor pakar, kecemasan dan trauma selama 24 jam, dua Angiogram Suite, Magnetic Resonance Imaging (MRI), Computed Tomography (CT-scan), Wad Isolasi Komprehensif 10 katil, rawatan pesakit harian 58 katil dan hemodialisis 40 kerusi rawatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum itu, Zambry melakukan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi melihat perkembangan semasa projek berkenaan dan menerima taklimat daripada Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Malehah Datuk Mohd Noh bersama wakil syarikat konsesi yang dilantik.

Beliau menambah dengan beroperasinya HUMS, ia bakal mempertingkatkan mutu pendidikan dan latihan perubatan.

Dalam masa sama, katanya penubuhan hospital berkenaan dijangka meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi untuk masyarakat setempat serta meningkatkan fiskal pendapatan dan ekonomi rakyat khusus dalam sektor pekerjaan.