KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar telah mengarahkan siasatan dilakukan terhadap dakwaan seorang penghantar makanan yang dia dizalimi oleh sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, yang tular baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Twitter beliau, Sivakumar berkata pegawai kementerian itu akan menghubungi syarikat berkenaan untuk siasatan lanjut.

"Saya ambil maklum dan telah mengarahkan pegawai saya... untuk menyiasat dan selesaikan isu ini dengan segera," katanya di Twitter hari ini.

Semalam, media melaporkan penghantar makanan berkenaan, Muhd Saifuddin Mustafa, 28, menzahirkan kekecewaan apabila mendakwa gaji yang diterimanya hanya RM500 dan bukan RM800 seperti yang sepatutnya.

Video luahan kekecewaan individu yang dimuat naik di aplikasi TikTok menggunakan akaun saifulxander tular baru-baru ini, mendapat lebih 900,000 tontonan, setakat ini.

-- BERNAMA