KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencapai kedudukan baharu dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2025 apabila melonjak tujuh anak tangga untuk menduduki ranking ke-181 universiti terbaik dunia.


Ringkasan AI
  • UTM meningkat tujuh anak tangga dalam QS World University Rankings 2025, mencapai kedudukan ke-181 universiti terbaik dunia, menunjukkan usaha berterusan dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan penyelidikan yang berimpak.
  • UTM mengekalkan kedudukan tempat kedua di Malaysia dan muncul sebagai universiti terbaik dalam kalangan Universiti Penyelidikan di negara ini, menonjolkan dedikasi universiti untuk membangunkan pengetahuan dan memacu inovasi.
  • Penyelidikan antarabangsa UTM berkembang dengan pesat, meningkatkan kualiti dan ketelusan penyelidikan serta memastikan kebolehpasaran yang tinggi untuk graduannya, menjadikan UTM pemimpin dalam bidang pendidikan dan penyelesaian inovatif di peringkat global.


UTM dalam kenyataan memaklumkan universiti itu kekal dalam kalangan 200 universiti terkemuka dan berada dalam kedudukan 12 peratus teratas di peringkat global daripada 1,500 universiti yang ditarafkan.

"Pencapaian yang signifikan ini memperlihatkan usaha berterusan UTM dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan penyelidikan yang berimpak, sejajar dengan Pelan Strategik enVision UTM 2025," menurut kenyataan itu.

UTM memaklumkan edisi QS WUR kali ini turut menyaksikan peningkatan ketara dalam sitasi setiap fakulti universiti itu, yang mencerminkan keberhasilan penyelidikan berkualiti dengan produktiviti yang tinggi.

"UTM telah mengekalkan kedudukan tempat kedua di Malaysia, di samping muncul universiti terbaik dalam kalangan Universiti Penyelidikan di negara ini, sekali gus memperlihatkan dedikasi universiti untuk terus membangunkan pengetahuan dan memacu inovasi.

"Selain itu, Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa UTM telah berkembang dengan pesat. Pencapaian ini menonjolkan kecemerlangan UTM dalam membina kerjasama penyelidikan antarabangsa yang kaya dan pelbagai, sekali gus meningkatkan kualiti dan ketelusan penyelidikannya yang membawa kepada penyelesaian isu tempatan dan global yang kian mendesak," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, UTM turut menunjukkan peningkatan dalam indikator Keberhasilan Kebolehpasaran, mencerminkan kejayaan universiti berkenaan dalam memastikan kadar kebolehpasaran yang tinggi untuk graduannya di samping membentuk pemimpin masa hadapan yang akan memberikan impak signifikan dalam bidang diceburi.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Ahmad Fauzi Ismail dalam kenyataan sama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas dedikasi petugas universiti, komitmen pelajar, serta sokongan tidak berbelah bagi daripada alumni dan rakan kerjasama, yang melonjakkan kedudukan UTM dalam ranking global serta memainkan peranan penting dalam kejayaan berterusan universiti.

"Dalam pada UTM meraikan peningkatan kedudukannya dalam QS WUR 2025, kami tetap berpegang teguh kepada komitmen dan amanah untuk terus membangunkan dan meningkatkan pengetahuan, mengasah bakat, dan menangani cabaran masyarakat menerusi penyelesaian inovatif.

"Kebersamaan kita, yang terpateri dalam moto UTM 'Kerana Tuhan untuk Manusia,' telah menjadi kunci kepada kejayaan ini, kerana ia tidak mungkin dapat dicapai tanpa sinergi merentas jabatan," katanya.

Pada edisi QS WUR tahun ini, setiap universiti telah dinilai berdasarkan sembilan kriteria utama iaitu Reputasi Akademik, Sitasi setiap Fakulti, Reputasi Majikan, Nisbah Pelajar Fakulti, Fakulti Antarabangsa, Pelajar Antarabangsa, Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa, Kelestarian serta Keberhasilan Kebolehpasaran.

-- BERNAMA