Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun bersifat bipartisan dan mengangkat semangat permuafakatan semua anggota Dewan Rakyat.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam kenyataan hari ini berkata pindaan usul itu merupakan usaha bagi mengutamakan golongan muda yang bakal mencorakkan masa hadapan Malaysia.

"Usaha menyuburkan demokrasi ini juga mendapat sokongan dan perhatian daripada anggota pembangkang termasuk PAS, Pemuda MIC, UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) dan Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan).

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong kempen Undi 18 dan usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat," katanya.

Pada 19 Sept tahun lepas, mesyuarat jemaah menteri bersetuju dengan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan itu dan usul pindaan tersebut dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, Khamis ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata KBS akan memastikan usaha bagi mengangkat peranan golongan muda tidak terhenti dalam persidangan Dewan Rakyat sahaja, malah akan menjadi satu komitmen berterusan kementerian itu.

"Sokongan dan sumbang saran daripada rakyat akan mendorong kerajaan Malaysia untuk memperkasakan golongan muda bagi masa depan negara yang lebih baik," katanya dan menambah bahawa usul pindaan itu turut mendapat sokongan badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sivil dan mufti.

Syed Saddiq yang juga Anggota Parlimen Muar berkata kerajaan sedang mengkaji langkah pendaftaran pengundi secara automatik termasuk pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007, akta berkaitan pilihan raya dan beberapa penambahbaikan lain yang mampu meningkatkan peranan golongan muda di negara ini.

-- BERNAMA