UMNO masih perlu melahirkan lebih ramai pemimpin muda berfikiran inovatif.

Pensyarah progam Sains Politik dan Kamanusiaan UKM Prof. Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata ini antara aspek harus diperbaiki di dalam UMNO kerana parti pembangkang banyak melahirkan pemimpin-pemimpin muda yang dapat menarik perhatian orang muda.

“Kalau kita kira dengan jari, mesti terlebih jari. Dalam UMNO pula, kalau kita kira dengan jari, tak habis jari pun kita tidak dapat scan ketokohan (pemimpin muda),” kata Samsul.


Ketika ditanya mengenai calon-calon yang tewas dalam pemilihan pucuk pimpinan sayap UMNO, beliau berharapkan bahawa mereka akan terus memperkukuhkan jenama mereka.

“Mereka berjaya mengemukakan diri mereka untuk bertanding sehingga peringkat Ketua Pemuda dan yang penting jenama mereka ini mula terlihat di pentas politik nasional.

“Selepas ini, mereka harus mencari bidang mereka melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) atau pergerakan luar negara untuk menjenamakan diri mereka,” tambah beliau.


Tentang kemenangan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO pula, beliau merasakan pendekatan progresif dan agresif Khairy sudah boleh diterima oleh perwakilan UMNO berbanding beberapa tahun lepas.

Tambah Samsul, barisan pemimpin muda harus diramaikan agar mereka berdepan dengan politik sebenar dalam negara dan akan menjadi pemimpin pelapis.


Beliau juga berharapkan Ketua Puteri UMNO yang baru dilantik Mas Ermieyati Samsudin dapat memberikan suntikan yang luar biasa dan sekaligus menambahkan jumlah ahli Puteri UMNO di kalangan golongan pelajar-pelajar IPTA.


Mereka ditemui dalam program Analisis AWANI Khas sempena pemilihan sayap UMNO awal pagi tadi.