Pensyarah dan penganalisis hubungan antarabangsa Binus University, Lili Yulyadi berkata, Prabowo berani mengangkat isu-isu yang sudah lama berlaku di republik itu termasuk komitmennya untuk membasmi rasuah dan kemiskinan walaupun usaha tersebut dilihat oleh segelintir pihak sebagai mustahil.
"Saya kira ini ucapan komprehensif, cuba bercakap dari segi national development dalam negeri, pembangunan di dalam negeri itu sendiri, yang mana dia mengakui ada kemiskinan, ada kekurangan gizi, ada kecelaruan pendidikan dan dia menerangkan itu dengan sangat jelas.
"Bagaimana beliau cuba untuk ke depan kan kesejahteraan rakyatnya, national interest, yang mana perlunya masyarakat lebih sejahtera. Kalau belum sejahtera, belum merdeka. Itu ertinya salah satu yang mahu dibawakan oleh Presiden kelapan ini, Prabowo Subianto dengan kabinetnya akan datang. Insya-Allah," katanya.
lili berkata demikian dalam Buletin Awani Khas pada Ahad.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan, Probowo turut menyentuh mengenai dasar luar negeri yang mana Indonesia akan menjadi sebuah negara yang mementingkan semangat persahabatan dengan negara lain.
"Prabowo menyebut menjadi sahabat, tetangga yang baik kepada semua negara, ini adalah merupakan sebuah cita-cita bagaimana dia mempertahankan Indonesia menjadi sebuah negara yang maju lagi dengan membawa semua masyarakat menjadi sejahtera dan bekerjasama dengan semua negara-negara sahabat.
Prabowo yang berucap di hadapan 20 ketua negara asing yang hadir pada majlis angkat sumpah pelantikan beliau dan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka turut menekankan semua pihak perlu berani untuk membaiki diri dan negara.