Jurucakap Kementerian Luar, Rolliansyah Soemirat berkata, pada sidang kemuncak itu, Indonesia akan dilantik untuk memegang jawatan Pengerusi D-8 daripada Pengerusi semasa, Mesir, bagi tempoh 2026-2027, lapor agensi berita ANTARA.
Jawatan Pengerusi Indonesia bagi pertubuhan D-8 akan bermula pada 1 Januari 2026.
"Sidang kemuncak ini mempunyai kepentingan yang besar kerana, selain merupakan mesyuarat biasa D-8, ia akan menyaksikan penyerahan jawatan Pengerusi daripada Mesir kepada Indonesia, yang akan menjadi Pengerusi bagi tempoh 2026-2027," katanya pada Isnin.
Ditubuhkan pada 1997, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi D-8 merangkumi negara-negara utama dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk Malaysia, Bangladesh, Indonesia, Iran, Mesir, Nigeria, Pakistan dan Turki.
Soemirat menekankan pentingnya kerjasama dalam rangka D-8 yang semakin meningkat, terutama dalam usaha negara-negara Selatan Global untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang ekonomi dan pembangunan.
"RI (Indonesia) akan memanfaatkan kehadiran Presiden (Prabowo) untuk menekankan peranan D-8 dalam memberi sumbangan positif kepada rayuan Selatan Global untuk terus meningkatkan kerjasama," katanya.
Jurucakap itu juga menyatakan, peranan D-8 semakin penting dalam usaha bersama untuk memperkukuhkan kesedaran global mengenai situasi di Palestin, terutamanya di Gaza yang masih berada di bawah serangan Israel.
Sidang Kemuncak D-8 di Kaherah yang akan berlangsung dengan tema "Melabur dalam Belia dan Menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana, Membentuk Ekonomi Masa Depan" mencerminkan tumpuan organisasi ini terhadap isu belia dan PKS untuk ekonomi masa depan.
"Tema ini juga menunjukkan pandangan bersama dengan keutamaan yang disampaikan oleh Presiden (Prabowo) mengenai kerjasama antarabangsa dalam sektor ekonomi," kata Soemirat. - BERNAMA-ANTARA