LIMA (Peru): Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada usaha pemusatan ASEAN sebagai satu pasaran tunggal seiring peranannya sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, sasaran itu boleh dicapai melalui kerjasama konkrit terutamanya dalam sektor kerajaan dengan perniagaan yang boleh dihubungkan melalui Kaukus ASEAN di dalam Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

“Rantau ini adalah rantau yang paling aman di dunia, kecuali beberapa isu kecil melibatkan Myanmar dan kebetulan merupakan ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia.

“Oleh itu, kita perlu memanfaatkan sumber yang ada, bekerjasama sebanyak mungkin, kerana seperti yang anda lihat, dalam aspek seperti pendigitalan, keselamatan makanan, peralihan tenaga - kita semua berada di landasan yang sama dan ini sangat luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Dialog Ekonomi Peringkat Tinggi ABAC bersama beliau dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Anwar pada masa sama menggalakkan peranan aktif kaukus tersebut bagi menyokong komitmen ASEAN untuk mencapai kemampanan pertumbuhan ekonomi yang berterusan bagi mengurangkan ketidak seimbangan kekayaan.