KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan berbaur fitnah yang sepatutnya bersambung hari ini, ditangguhkan berikutan bekas Perdana Menteri itu dikejarkan ke Insititut Jantung Negara (IJN), lewat petang semalam.

Perkara itu dimaklumkan peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir, 99, selaku plaintif ketika ditemui selepas prosiding kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

"Lewat petang semalam kami dimaklumkan Dr Mahathir dikejarkan ke Institut Jantung Negara untuk rawatan," katanya ketika prosiding.

Sehubungan itu, Mior Nor Haidir berkata, Dr Mahathir diberi cuti sakit sehingga 25 Oktober.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan anak guamnya boleh hadir ke mahkamah untuk menyambung perbicaraan pada 29 dan 30 Oktober.

"Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijadualkan untuk dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pada tarikh itu, selain soal balas terhadap plaintif," katanya.

Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid, mengesahkan perkara itu.

Gan membenarkan permohonan melapangkan tarikh perbicaraan hari ini dan esok.

Mahkamah turut menetapkan 29 dan 30 Oktober depan, selain 5 dan 6 Disember serta 9 Disember depan untuk sambung perbicaraan kes berkenaan.

Pada 20 Julai 2022, Mahathir memfailkan tuntutan mendakwa Presiden UMNO itu telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dakwa Dr Mahathir, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya, selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.