Beliau berkata cadangan itu dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional Siri 3 Bil. 3 Tahun 2024, yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
"Ini adalah untuk mengatasi kesukaran kementerian dalam mengendalikan isu tatakelola di kementerian masing-masing, apabila ketua unitnya bukan daripada SPRM.
"Pegawai SPRM yang ditempatkan di kementerian adalah pegawai yang mempunyai pensijilan ataupun diiktiraf sebagai certified integrity officer," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Azam berkata penempatan pegawai ini akan dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Awam secara berfasa.
"Selain itu, sebanyak 62 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menubuhkan unit integriti, manakala 84 PBT telah melantik liaison officer," katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah membuka 107 kertas penyiasatan tatakelola pada tahun lepas, dengan 69 penambahbaikan telah dibentangkan.
"SPRM turut mengemukakan syor dan cadangan penambahbaikan tatakelola pada 2024," katanya.
Pada majlis itu, Azam turut melancarkan papan pemuka Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang dibangunkan, bagi membolehkan orang ramai memantau kemajuan setiap substrategi di bawah tanggungjawab kesemua 19 Ketua Agensi Peneraju.
"Ia membolehkan orang ramai mengetahui mana-mana substrategi yang telah diselesaikan di bawah NACS, output, ringkasan dan keberkesanannya sama ada melalui penemuan kajian, dasar atau aspek undang-undang," katanya.
Papan pemuka NACS itu boleh layari https://d-nacs.sprm.gov.my.
-- BERNAMA