Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, berkata kejadian berlaku sekitar jarak 500 meter dari tempat mereka menuntut ilmu.
Menurut Pelajar Sarjana Muda Perakaunan itu ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke kampus selepas selesai membeli barang keperluan.
Katanya mereka berempat keluar dengan menaiki motorsikal sekitar pukul 5 petang selepas selesai menghadiri perjumpaan aktiviti kokurikulum.
"Pada awalnya hanya saya dan Khairil Anuar Jamaluddin yang hendak ke bandar lepas tu akmal (Mohd Akhmal Tukirin) dan Ku Adib Aizab Ku Azmi nak ikut.
"Masa kejadian saya menunggang motorsikal dan Khairil Anuar membonceng. Apa yang saya ingat kami sudah hampir tiba kira-kira 500 meter menuju pintu masuk kampus dan sedar-sedar saya sudah berada di dalam longkang," katanya ketika ditemui di Hospital Dungun di sini, hari ini.
Sementara itu kesihatan anak anak kedua daripada empat beradik itu juga beransur pulih namun masih mengalami pening-pening kesan daripada terjatuh dan tercampak ke dalam longkang.
Dalam pada itu bapanya, Mohamad Ridhuan Mohd Shariff, 52 berkata mereka sekeluarga sedia untuk berjumpa dengan suami kepada pemandu wanita yang terlibat dalam nahas berkenaan.
Mohamad Ridhuan berkata sebagai ayah dia reda dan mahu memandang positif kejadian tersebut malah tidak keberatan jika anaknya mahu meneruskan pengajian di UiTM Dungun.
"Hasrat saya kini mahu membawa Muhammad Ammar Danish pulang ke rumah kami di Keramat untuk memantau keadaannya dengan lebih rapi bersama keluarga,"katanya.
Pada Rabu tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan pada Rabu.
Insiden kira-kita jam 7.20 malam itu menyebabkan mangsa Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, Khairil Anuar Jamaluddin, 20, dan Mohd Akhmal Tukirin, 25, maut dilokasi kejadian.
Manakala rakan mereka Mohd Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, masih menerima rawatan di Hospital Dungun.