GOMBAK: Pemergian isteri tercinta akibat kencing manis sejak 11 tahun lalu membawa jiwa Roslee Ali untuk setia di kawasan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, di sini.
Bertitik tolak daripada pemergian Allahyarham Rosnah Ahmad, penerima anugerah Tokoh Frontliner Khas Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan ini, mula mengabadikan dirinya untuk berbakti kepada masyarakat.
Bukan wang ringgit atau anugerah yang didambakan, namun yang dikejar ialah saham akhirat untuk bekalan pulang ke negeri abadi kelak.
Astro AWANI semalam berpeluang menyelusuri kisah hayunan tangan dan kudrat si penggali kubur, yang mungkin selama ini tidak didendangkan.
"Saya mula kerja kubur ini sejak arwah isteri saya meninggal, terus saya melekat menjadi penggali kubur," kata Roslee ketika ditanya kenapa dia memilih kerjaya ini.
"Terus terang saya cakap kalau saya nak hidup mewah, saya buat kerja perpaipan (kerja asal). Memang gaji saya lumayan. Tetapi saya memilih kerja kubur ini kerana tengah hari saya boleh balik rumah.
"Selain itu, lebih dekat untuk saya menziarah kubur arwah (isteri). Kalau saya buat kerja saya dulu, pergi pagi, balik pagi. Kalau tak, pergi pagi dan balik tengah malam," ceritanya kepada Astro AWANI, di sini, pada Jumaat.
Bagi bapa kepada enam cahaya mata ini, kekuatan kudrat dan kesihatannya adalah pinjaman Yang Maha Esa.
Dengan usia menjengah 63 tahun, Roslee bersama penggali kubur yang lain pernah menggali 40 liang lahad sehari.
Keringat yang dicurahkan hanya untuk memastikan sekujur badan disempurnakan sebaiknya menuju kampung abadi, kerana setiap orang tidak sama nasib di sana.
"Kekuatan saya dan niat saya hanya satu, bukan nak cari kemewahan di kubur ini, tetapi apabila ada di sini dan apabila saya bermain (menguruskan) dengan jenazah, saya nak selesaikan jenazah itu sebaik mungkin.
"Setiap pagi saya bangun dalam pukul 4 atau 5 pagi, saya mandi, dan selepas solat Subuh dalam fikiran saya satu sahaja, 'berapa pula jenazah hari ini yang saya nak hadap'," ujar Roslee.
Pengalaman Menggali Kubur
Setiap pukul 7 pagi, Roslee akan memulakan rutin untuk menggali lubang kubur.
Namun, pada satu malam tahun lalu, selepas solat Isyak, Roslee menerima panggilan telefon pertama untuk menguruskan jenazah COVID-19.
Ketika itu, dia akui, jiwanya tersentuh meskipun sudah lali dengan pengurusan jenazah.
"Lama-lama saya fikir, niat nak tolong orang, terpaksa juga buat sebaik mungkin.
"Alhamdulillah (selepas) hampir setahun setengah, saya rasa diri saya tak ada apa (dijangkiti COVID-19). Mungkin Tuhan melindungi saya," luahnya menzahirkan rasa syukur.
Bercerita lebih lanjut, Roslee berkata sepanjang bergelar penggali kubur sejak 2011, antara cabaran yang perlu ditempuhi ialah keadaan tanah yang berbatu dan cuaca.
Sejak pandemik COVID-19 melanda, dia berkata, cabaran tersebut sedikit berbeza kerana memerlukan mereka yang menguruskan jenazah memakai Pakaian Perlindungan Diri (PPE).
"Sejak COVID-19, tengah hari saya tak pernah balik rumah sebab saya ada anak dan cucu. Apabila balik pada petang, saya mandi dan berkurung dalam bilik. Sampai pukul 8 lebih, cucu ketuk pintu untuk panggil makan.
"Selepas itu, saya masuk bilik dan tidak bergaul dengan anak-anak. Alhamdulillah, dua atau tiga minggu lepas, anak saya telah buat ujian saringan dan dia tiada masalah (negatif), bermakna saya juga baik," katanya.
Ditanya bagaimana rasanya di dalam PPE, Roslee menyifatkan ia sebagai satu 'penyiksaan'.
"(Saiz seluar) saya daripada 36, sekarang tinggal 33. Dah susut badan saya. Memakai PPE khususnya dalam cuaca macam ini (panas), ia seperti kita mandi hujan. Basah. Dan nafas kita tak cukup," ujarnya.
Sejak peningkatan kes kematian COVID-19, Roslee berkata, jentera digunakan untuk menggali lubang kubur.
Namun, bagi pengurusan jenazah lain, kebanyakannya memerlukan Roslee menggali liang lahad menggunakan cangkul.
"Pukul 2 petang kita sudah mula pakai PPE, sampai habis menguruskan jenazah COVID-19. Kalau jenazah cepat dibawa ke tanah perkuburan, cepatlah habis (mengebumikan). Namun, kadang kala ada yang tergendala, kita terpaksa menunggu," kongsinya lagi.
Anugerah Tokoh Frontliner
Bagi Roslee, dia tidak pernah menyangka akan menerima penghargaan bagi Anugerah Tokoh Frontliner, yang merupakan kategori baharu diperkenalkan tahun ini.
Selain Roslee, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut memberikan anugerah khas tersebut kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari.
Bagi Anugerah Tokoh Korporat, ia dirangkul Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Dr Ramly Mokni manakala pengacara dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri diiktiraf sebagai penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Kreatif.
"Maklumlah kita tak berpelajaran tinggi, sekolah pun setakat darjah enam sahaja... tahu-tahu saya boleh dapat benda (anugerah) macam ini.
"Pada saya anugerah yang saya dapat ini bukan untuk diri saya, saya cuma mewakili petugas barisan hadapan untuk anugerah ini. Kalau saya seorang, apa mampu saya buat?
"Kerjasama kawan-kawan membolehkan jenazah COVID-19 diuruskan sebaik mungkin termasuk penglibatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan (KKM), sukarelawan serta Jawi," katanya.
Berdasarkan rekod Bahagian Pengurusan Dakwah Jawi, sebanyak 3,011 jenazah COVID-19 diuruskan oleh jabatan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).
Daripada jumlah tersebut, 1,660 adalah jenazah lelaki manakala 1,351 lagi jenazah wanita.
Temu bual penuh kisah 'Harumnya Bau Si Penggali Kubur' akan disiarkan dalam program STARS@AWANI, pada 22 Ogos ini.
Hasimi Muhamad
Sun Aug 22 2021
Roslee mula menjadi penggali kubur lebih kurang 11 tahun lalu selepas pemergian isterinya. - Gambar Astro AWANI/Ihsan Roslee
Tumpuan Selasa – 26 November 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
10 Berita Pilihan - (25 November 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
'Kakak' dan 'adik' sihat...sambut kelahiran 100 hari
Pasangan kembar panda yang dikenali 'Kakak dan 'Adik' yang pertama kali dilahirkan di Hong Kong dikhabarkan membesar dengan sihat dan cergas dibawah jagaan Taman Hidupan Liar wilayah berkenaan. Perkhabaran itu diumumkan Taman Hidupan Liar Ocean Park Hong Kong bersempena dengan sambutan kelahirannya kedua pasangan itu yang kini berusia 100 hari sejak dilahirkan pada 15 Ogos lalu.
Penduduk rungut sesak nafas, gatal tekak akibat jerebu Delhi
Penduduk yang tinggal di New Delhi, India mengadu sakit tekak dan sesak nafas akibat kualiti udara yang semakin merosot di bandar itu. Kualiti udara di bandar yang dinamakan sebagai bandar paling tercemar di dunia pada tahun 2023 itu kini masih kekal pada paras merbahaya dengan indeks bacaan kualiti udara (AQI) 688 setakat pagi Isnin.
Iran mahu hukuman mati untuk Netanhayu, Gallant
Hanya hukuman mati setimpal untuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanhayu dan Bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas jenayah mereka di Asia Barat, kata Pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Polis lepaskan gas pemedih mata kepada penyokong Imran
Polis daerah Attock di barat laut Pakistan terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang mengadakan protes membebaskan bekas perdana menteri Imran Khan pada Isnin.
Pesawat kargo DHL terhempas di Vilnius
Polis Lithuania tidak menangkis serangan pengganas boleh menjadi punca kepada nahas pesawat kargo DHL terhempas berhampiran lapangan terbang Vilnius pada pagi Isnin. Nahas itu seperti yang disahkan oleh Ketua Polis telah mengorbankan seorang individu dan mencederakan tiga yang lain, yang kini masih ditempatkan di hospital untuk menerima rawatan.
Datuk Seri Vida lantik peguam selesai isu sitaan & hutang
Datuk Seri Vida atau nama sebenar Hasmiza Othman berkata akan melantik peguam bagi menyelesaikan isu berkaitan tuntutan hutang dan sitaan melibatkan aset mewah miliknya.
Beliau dalam kenyataan di laman Instagram miliknya pada Isnin berkata, beliau mengambil perkara ini dengan serius dan memberikan sepenuh perhatian terhadap isu dibangkitkan.
Beliau dalam kenyataan di laman Instagram miliknya pada Isnin berkata, beliau mengambil perkara ini dengan serius dan memberikan sepenuh perhatian terhadap isu dibangkitkan.
Kahar: Kapla High Council bakal cetus fenomena baharu?
Wartawan Ridauddin Daud menemubual beberapa pelakon Kahar: Kapla High Council ketika tayangan perdana pada Isnin.
Tidak akan terburu-buru, perlu kajian mendalam
Kerajaan tidak akan terburu-buru dalam meletakkan syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu kepada warga emas.
Tokoh Ma'al Hijrah: Niat saya hanya satu, nak uruskan jenazah sebaik mungkin - Penggali kubur
Bagi Roslee, bukan wang ringgit yang dikejarnya tetapi saham akhirat untuk bekalan pulang ke negeri abadi kelak.