KUALA LUMPUR: Ratusan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkumpul di kawasan lapang berhampiran Kuil Murugan di sini, sejak jam 10.30 pagi ini.

Kehadiran mereka sebagai tanda solidariti terhadap Najib berhubung prosiding di Mahkamah Rayuan di Putrajaya berkait Titah Adendum.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa pengawal turut ditempatkan di sekitar kawasan tempat meletakkan kenderaan bagi mengawal aliran trafik dan situasi semasa.

Pada Sabtu, media melaporkan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan akan meneruskan himpunan solidariti bagi menyokong Najib dengan menukar lokasi dari Istana Kehakiman Putrajaya ke Batu Caves.

Beliau berkata, himpunan tersebut akan diadakan di Kuil Murugan sekitar jam 11 pagi bagi tujuan sembahyang khas.

Menurutnya, perkara tersebut terpaksa diteruskan mengambil kira komitmen dan sokongan beribu-ribu ahli MIC yang sanggup menjadi sukarelawan untuk acara berkenaan.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, perhimpunan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri itu perlu dilihat dalam konteks berasingan daripada proses formal yang ditegaskan Yang di-Pertuan Agong.

Tambahnya, perkara itu lebih kepada hak demokrasi, tanda sokongan dan perpaduan yang tidak bertentangan dengan titah baginda.

Beliau menjelaskan, MIC tetap meletakkan penghormatan tertinggi yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai kuasa prerogatif seperti yang digariskan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda dalam isu berkenaan.

Kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara pada Jumaat memaklumkan permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu memaklumkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif mengikut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan, iaitu baginda mempunyai kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut. - Sinar Harian