Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan “bertindak sewajarnya” berdasarkan kepada “bukti baru” yang telah diperolehi daripada ‘video pendedahan’ di Sarawak oleh sebuah NGO antarabangsa.

Pengarah penyiasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata bahawa siasatan ke atas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud sedang dijalankan.

“Siasatan sedang dijalankan. Dengan adanya bukti baru SPRM akan bertindak dengan sewajarnya,” kata Mustafar melalui satu SMS yang dihantar kepada Astro Awani.

Pada awal hari ini, badan pemerhati anti rasuah, Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa SPRM untuk menjalankan penyiasatan berdasarkan ‘video pendedahan’.

Pengerusi TI-M Datuk Paul Low berkata berdasarkan kepada video tersebut, sudah terdapat ‘sebab untuk menjalankan siasatan’.

“Kes tersebut menjadi salah satu yang sedang dlihat, video itu merupakan bukti 'prima facie' terhadap kes yang memerlukan siasatan lanjut. Dengan adanya rakaman video, perlukah lagi penjelasan yang lebih daripada ini?,” kata Low.

Semalam, Global Witness (GW) telah menyiarkan video selepas menyamar untuk menyiasat tahap rasuah di Sarawak, terutama yang mungkin membabitkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib dan keluarganya yang menglibatkan ‘tawaran tanah yang mengaburkan'.

Video selama 16 minit itu mengandungi perbualan yang dirakam secara rahsia di antara sepupu, rakan-rakan dan peguam Taib.

Penyiasat dari GW menyamar sebagai pelabur yang berminat untuk membeli tanah ladang kelapa sawit di Sarawak dan video tersebut menimbulkan isu-isu pengaliran dana keluar dan rasuah yang disyaki berlaku.

Bagi tujuan pembelian tanah, GW telah bekerjasama dengan pihak pembangunan koridor negeri (Recoda) sebuah badan yang bertanggungjawab dalam hal pelaburan asing.

"Video tersebut membuktikan buat pertama kali perkara yang disyaki selama ini. Orang-orang di bawah Ketua Menteri telah menyalahgunakan sumber semulajadi bagi kepentingan sendiri," menurut Tom Picken Ketua Pasukan Global Witness dalam suatu kenyataan.

Hasil siasatan dipercayai:
Persatuan Peguam Sarawak (AAS) memberitahu pihaknya akan menyiasat dan bertindak terhadap peguam di dalam video tersebut yang merancang untuk mengelak membayar cukai hartanah.

Sementara itu, Taib telah menafikan yang sepupunya merupakan seorang broker kayu balak seperti yang didakwa di dalam video tersebut.

Sebaliknya, dia berkata sepupunya yang pernah ‘bergaduh’ pada suatu masa dulu, mungkin mempromosikan diri mereka sendiri sebagai ejen untuk mendapatkan keistimewaan.

“Saya telah melihat video tersebut . Mungkinkah salah seseorang daripada mereka cuba mempromosikan diri untuk menjadi ejen untuk mendapatkan sesuatu dari saya?

"Ia tiada kaitan dengan saya. Ini satu tuduhan tak berasas. Mereka menggunakan kuasa untuk memburukan nama saya," jawab Ketua Menteri Sarawak kepada wartawan.