SHAH ALAM: Tiga warga asing maut dalam satu kemalangan jalan raya selepas sebuah kereta merempuh "water barier" serta pembahagi jalan di Kilometer (KM) 3.1 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kemalangan itu mengakibatkan dua lelaki warga India serta seorang warga Bangladesh berumur 24 hingga 29 tahun yang merupakan pekerja kontraktor syarikat penyelenggaraan maut.

Beliau berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 3.30 pagi, dan kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 20-an dari arah Damansara menghala Klang hilang kawalan ketika melalui kawasan berkenaan, semasa kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan.

"Seorang lagi mangsa mengalami cedera ringan. Semua mereka dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata pemandu kereta itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam ASP Raja Mahadi Raja Mahmudin di talian 012-3097660 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA