Tiga orang nelayan yang disyaki penagih dadah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di dalam sebuah bot pukat tunda di tengah laut berdekatan perairan di sini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama (M) Haji Rozali Mohd Said dalam satu kenyataan hari ini berkata bot ketiga-tiga suspek berumur di antara 37 dan 68 tahun itu ditahan kira-kira enam batu nautika (11.85km) dari Tanjung Belua di sini pukul 12.23 malam Isnin.

"Nelayan terbabit merupakan warga tempatan dan turut dijumpai satu kotak kecil mengandungi tujuh tiub kecil berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dan peralatan untuk menghisap dadah di bilik kemudi," katanya.

Menurutnya tiga lagi tiub kecil berisi serbuk disyaki heroin ditemui di ruang tidur bot nelayan itu semasa pemeriksaan lanjut dibuat di Jeti Maritim Bukit Malut di sini dengan berat keseluruhan bahan yang ditemukan itu dianggarkan 4.5 gram.

Kesemua suspek itu didapati positif mengambil dadah dalam ujian saringan awal dan kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1)(a) akta yang sama kerana memiliki dadah.

-- BERNAMA