RANTAU PANJANG: Tindakan berani seorang pemandu bot membawa dua lelaki menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram Pohon Jambu di sini membawa padah apabila ditangkap Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu pada Selasa.

Tindakan tiga lelaki tersebut telah melanggar arahan keluar masuk Malaysia-Thailand menggunakan pangkalan haram menyebabkan mereka disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan dilakukan pada jam 4 petang dengan menahan sebuah bot dari Thailand semasa menjalankan Op Taring Wawasan.

"Pada awalnya pemandu bot cuba melarikan diri namun berjaya diberkas dan hasil pemeriksaan ke atas kesemua suspek tidak menjumpai apa-apa barangan yang menyalahi undang-undang," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurut beliau, mereka dipercayai masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak sah dan kesemua suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, PGA mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan rentas sempadan secara haram dari terus berleluasa di sempadan negara. - Sinar Harian