KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan penyeludupan 300,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM330,000 dekat pengkalan haram Pos Rela, Pasir Mas semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan tersebut dilakukan kira-kira 1 pagi apabila pihaknya ternampak longgokkan kotak berwarna coklat yang disembunyikan di kawasan semak semasa membuat rondaan Op Taring Wawasan Kelantan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kotak-kotak berkenaan ditemukan rokok putih berjenama TEX dipercayai diseludup dari Thailand, untuk pasaran tempatan di kawasan kampung dan ladang yang ramai pekerja warga asing.

"Kesemua barang rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan hari ini. - BERNAMA