KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai komiditi bernilai keseluruhan RM10.8 juta termasuk cukai.


Ringkasan AI
  • JKDM berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai komoditi bernilai RM10.8 juta termasuk cukai, melibatkan tembakau sedut, rokok putih dan kretek, e-waste, dan beras.
  • Kesalahan termasuk pengikraran tidak betul dan menyimpan barang tidak berkastam.
  • Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, dengan beberapa kenderaan dan kontena disita.


Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan sekitar Selangor itu membabitkan tembakau sedut, rokok putih dan kretek, e-waste serta beras bermula Julai hingga November lalu.

“Kes pertama ialah kita menyita 100 beg plastik mengandungi snuff tabacco (tembakau sedut) seberat 3,000 kilogram bernilai RM8.4 juta termasuk duti dan cukai selepas menyita sebuah kontena di Pelabuhan Klang pada 5 November lalu.

“Modus operandi adalah dengan buat pengikraran tidak betul dengan mengikrar dagangan sebagai pelbagai barang campur bagi mengelak dikesan JKDM,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan dan Seksyen 133 (1)(a) akta sama iaitu pengikraran tidak benar.

Bagi kes kedua, Norlela berkata, ia melibatkan 728,972 batang rokok putih dan kretek dengan anggaran nilai serta duti dan cukai berjumlah RM608,803 hasil serbuan ke atas tiga premis tidak berpenghuni sekitar Kajang dan Bandar Sri Damansara pada 22 dan 24 Oktober serta 8 November lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari menyimpan barang tidak berkastam atau barang larangan.

Norlela menambah, kes ketiga pula membabitkan 13 buah kontena di Pelabuhan Klang mengandungi 300,000 kilogram e-waste dengan anggaran nilai RM1.65 juta termasuk duti dan cukai.

“E-waste disenaraikan sebagai barang larangan di mana pengimportannya tertakluk kepada permit import. Dagangan diikrarkan sebagai aluminium alloys,” ujarnya.

Kes terakhir pula katanya membabitkan sebuah kontena pada penghujung Julai lalu yang membawa 18,500 kilogram beras dengan anggaran nilai termasuk cukai berjumlah RM169,400.

“Siasatan awal mendapati barang kes itu telah diimport ke Malaysia tanpa sebarang permit import, barang ini dari Pakistan sama seperti snuff tabacco tadi, juga dari Pakistan.

"Modus kes ini ialah ikrar tidak betul sebagai cashew nut dan basmati paraboiled rice. Kes ketiga dan keempat ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Norlela menegaskan, pihaknya komited membanteras penyeludupan kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah memberi ancaman kepada keselamatan negara dan rakyat.