NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah selepas merampas 233.14 kilogram (kg) daun khat, kanabis dan methamphetamine dianggarkan bernilai RM546,708 dalam serbuan berasingan di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Raizam Setapa@Mustapa berkata kes pertama melibatkan rampasan dadah jenis daun khat seberat 217.95kg yang dianggarkan bernilai RM205,000 di sebuah gudang syarikat logistik di kompleks berkenaan pada 25 Nov.

Beliau berkata sejumlah bungkusan berisi leraian tumbuhan berwarna hijau disyaki daun khat yang mengandungi Cathinone, ditemukan setelah memeriksa lapan buah kotak dari Afrika yang diikrarkan sebagai rempah herba.

"Dalam kes kedua, Cawangan Narkotik JKDM menyita satu bungkusan di gudang syarikat logistik pada 27 Nov dan menemukan plastik lutsinar berisi leraian tumbuhan disyaki dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 5kg bernilai kira-kira RM15,500.

"Bungkusan yang dibawa masuk dari United Kingdom itu diikrar sebagai barangan dagangan ditolak," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Raizam berkata bagi kes ketiga, pihaknya menemukan serbuk kristal disyaki methamphetamine seberat 10.19kg bernilai RM326,208 dalam bungkusan teh Cina, setelah melakukan pemeriksaan ke atas beberapa kotak mengandungi tuala yang akan dihantar ke Australia di sebuah gudang syarikat logistik di KLIA pada 2 Dis.

Beliau berkata ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA