Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata tindakan berterusan akan dilaksanakan bersama agensi terlibat untuk membanteras kemasukan haram e-waste di pelabuhan negara.
Beliau berkata sisa elektronik diklasifikasikan sebagai buangan berbahaya dan berjadual di bawah Konvensyen Basel dan pemindahan sisa itu dari satu negara ke negara lain melanggar undang-undang antarabangsa.
"Lambakan sisa elektronik di dalam negara kerana ia masuk secara haram melalui ikrar palsu dan dihantar ke kilang haram. Ini memang menjadi isu besar kebelakangan ini," katanya dalam sesi interaktif bersama media di sini semalam.
Wan Abdul Latiff berkata kerjasama berterusan JAS dengan agensi terlibat adalah untuk membanteras kemasukan sisa elektronik di pelabuhan dan pengoperasian kilang haram.
Beliau berkata kilang sisa elektronik yang dilesenkan hingga 30 April 2025 sebanyak 17 premis dan kilang separa sisa elektronik pula adalah 106 premis manakala kilang yang beroperasi secara haram 42 premis di seluruh negara.
Konvensyen Basel merupakan perjanjian antarabangsa yang mengawal pergerakan merentasi sempadan buangan berbahaya melalui prinsip Prior Informed Consent (PIC) dan negara pengeksport perlu mengemukakan notifikasi serta mendapat kebenaran bertulis dari negara pengimport terlebih dahulu sebelum sebarang pergerakan merentasi sempadan dilaksanakan.
Mengenai kilang haram di Telok Gong, Klang Selatan, Wan Abdul Latiff berkata terdapat kira-kira 23 kilang yang didakwa haram tetapi semakan mendapati hanya tiga kilang beroperasi secara haram terlibat dalam aktiviti kitar semula plastik dan memproses tayar terpakai.
Berhubung Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 yang telah diwartakan pada 6 Jun lepas dan berkuat kuasa 7 Julai, beliau berkata peningkatan denda dan penjara mandatori dijangka dapat mengurangkan kes pencemaran alam sekitar.
Antara intipati dalam pindaan itu ialah pemantapan hukuman penalti dengan julat kadar denda minimum tidak kurang daripada RM5,000, denda maksimum tidak melebihi RM10 juta, peningkatan kadar kompaun daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.
Selain itu, hukuman penjara mandatori tidak melebihi lima tahun ke atas kesalahan melibatkan pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran air dan ketidakpatuhan keperluan laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).
-- BERNAMA