Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata operasi yang dijalankan itu turut dibantu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
"Operasi ini ialah usaha JAS bagi menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996. Lapan pemilik kenderaan dikenakan tindakan Notis Arahan di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Pemilik kenderaan itu diarah menjalankan ujian semula ke atas kenderaan masing-masing selepas tindakan pembetulan. Dua lagi pemilik kenderaan dikompaun RM2,000 di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata JAS Kedah berharap semua pemilik dapat memastikan kenderaan masing-masing mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan melakukan pemeriksaan secara berkala dan tidak melakukan ubah suai yang melanggar peraturan.
"Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi JAS komited untuk menangani isu pencemaran alam sekitar dan mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan aktiviti pencemaran alam sekitar.
"Sebarang laporan atau aduan boleh dilakukan menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my melalui portal e-aduan JAS, iaitu https://eaduan.doe.gov.my," katanya.
-- BERNAMA