500 terumbu karang tanduk rusa dibiak semula di Pulau Jemuruk
Sebanyak 500 terumbu karang jenis tanduk rusa atau nama saintifiknya Acropora berjaya dibiak semula ke habitat semula jadi di sekitar perairan Pulau Jemuruk, di Langkawi.
Bernama
Wed Oct 23 2024
Seramai 100 orang RAS terlibat menjayakan program ini yang terdiri daripada Rakan-rakan Alam Sekitar, wakil industri , agensi kerajaan, NGO di sekitar Langkawi serta pegawai-pegawai JAS. - Gambar FB JAS
ALOR SETAR: Sebanyak 500 terumbu karang jenis tanduk rusa atau nama saintifiknya Acropora berjaya dibiak semula ke habitat semula jadi di sekitar perairan Pulau Jemuruk, di Langkawi.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, usaha pembiakan terumbu karang tersebut dijayakan menerusi program Coral Rack Planting (1 RAS 1 Terumbu Karang) dengan kerjasama rakan strategik Masterjaya Greentech Sdn Bhd.
"Objektif program itu bagi menyokong usaha pembiakan terumbu karang di sekitar perairan Teluk Yu hingga ke Kubang Badak.
"Terumbu karang di seluruh dunia terancam akibat kesan pencemaran dan aktiviti harian manusia serta terdedah kepada perubahan iklim sedangkan ia sepatutnya menjadi nurseri atau tempat pembiakan ikan dan hidupan laut lain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sehubung itu, beliau berkata, program itu sebagai satu daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar selain memupuk kesedaran pentingnya penjagaan ekosistem marin sebagai warisan untuk generasi akan datang.
Sharifah Zakiah berkata, kira-kira 100 Rakan Alam Sekitar (RAS) terlibat dalam menjayakan program tersebut termasuk wakil industri, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta pegawai JAS. - BERNAMA