Pengarah berkenaan Norazizi Adinan berkata operasi dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi bertujuan memastikan pematuhan berkaitan perundangan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.
Beliau berkata hasil operasi itu, pihaknya telah mengeluarkan 224 Arahan Lapangan, 69 Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 AKAS 1974 dan 63 kertas siasatan syor kompaun.
"Tiga Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dan lapan kertas siasatan syor pendakwaan juga telah dibuka sepanjang operasi dijalankan.
"Selain itu, pemeriksaan rutin turut dijalankan ke atas 1,307 premis industri dan punca pencemar yang berpotensi mempunyai risiko menyebabkan pencemaran alam sekitar, premis yang sentiasa mendapat kekerapan aduan dan premis yang belum pernah diperiksa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazizi memaklumkan industri terlibat dalam pemeriksaan itu termasuk yang berasaskan plastik, industri kimia, pengilangan logam asas, industri berasaskan getah, industri kertas, makanan, tekstil, percetakan, pembuatan produk logam serta elektrik dan elektronik.
Tambah beliau, sepanjang tahun ini juga, JAS telah mengeluarkan 314 notis arahan ke atas industri dan punca pencemar yang didapati melakukan kesalahan di bawah AKAS dan 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya selain membuka 267 kertas siasatan (kompaun), 14 POK dan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah.
-- BERNAMA