BANDAR SERI BEGAWAN: Seorang lelaki Malaysia berusia 42 tahun di Brunei didenda BND7,000 (US$5,225) kerana memiliki minuman beralkohol yang diseludup, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Sabtu.

Menurut laporan harian Borneo Bulletin, pegawai kastam Brunei telah menahan sebuah kenderaan untuk pemeriksaan pada Rabu dan menemukan 192 tin minuman beralkohol yang dibawa masuk tanpa kebenaran sah.

Mahkamah Majistret Brunei turut memerintahkan semua minuman yang disita, diserahkan kepada kerajaan untuk dimusnahkan.

Laporan itu juga menyebut bahawa lelaki terbabit akan menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan.

Brunei, sebuah Kesultanan di Asia Tenggara, melaksanakan undang-undang ketat ke atas rokok dan minuman beralkohol.

--BERNAMA-XINHUA