Ringkasan AI
- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggerakkan operasi khas Ops Tunggak di empat negeri sempadan Malaysia-Thailand (Perlis, Kedah, Perak, dan Kelantan) untuk menahan kenderaan asing bermula hari ini.
- Operasi ini bertujuan mengesan pemandu asing yang melanggar undang-undang, termasuk mempunyai saman tertunggak, dan memastikan mereka melunaskan bayaran saman sebelum meneruskan perjalanan.
- Ops Tunggak akan berlarutan sepanjang tahun baharu 2025, dengan JPJ juga mencatatkan pemeriksaan 4,945 kenderaan di seluruh negara dalam operasi khas Puspakom, di mana 1,093 kenderaan diambil tindakan dan 21 kenderaan disita.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata ops berkenaan ditumpukan di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
Beliau berkata operasi khas ini bertujuan untuk mengesan pemandu asing yang melanggar undang-undang, termasuk mempunyai saman tertunggak.
"JPJ akan mengambil tindakan undang-undang kepada kenderaan asing terutama dari Thailand menerusi ops berkenaan.
"JPJ akan menahan kenderaan asing untuk pemeriksaan dan sekiranya didapati ada saman tertunggak, pemandu akan diarah untuk melunaskan bayaran itu serta-merta sebelum boleh meneruskan perjalanan," katanya.
JPJ-OPS TUNGGAK 2 (AKHIR) KOTA BHARU
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi khas bersepadu sempena malam ambang Tahun Baharu 2025, di sini tengah malam tadi.
Muhammad Kifli berkata kenderaan asing terutama dari Thailand didapati berleluasa melakukan kesalahan berulang.
"JPJ mahu memastikan bukan sahaja warga negara kita sendiri bahkan pemandu warga asing juga wajib mematuhi undang-undang dan membayar saman yang sudah dikeluarkan," katanya.
Beliau berkata Ops Tunggak bermula hari ini dan akan berlarutan sepanjang tahun baharu 2025.
Sementara itu, Muhammad Kifli ketika diminta mengulas operasi khas Puspakom di seluruh negara berkata JPJ mencatatkan pemeriksaan 4,945 kenderaan di 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 1,093 kenderaan diambil tindakan dan 21 kenderaan disita membabitkan 829 kesalahan teknikal, manakala 811 melibatkan kesalahan selain teknikal.
-- BERNAMA