Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 12.49 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori muatan lembu dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Terdapat empat mangsa yang terlibat, tiga mangsa cedera ringan iaitu masing-masing seorang wanita dan lelaki berumur dalam lingkungan 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, mangsa cedera telah dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan ke pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum pihak Bomba tiba di lokasi.
Tambahnya, seorang lagi mangsa, lelaki berumur 29 tahun tersepit di bahagian penumpang hadapan.
Katanya, ketua operasi mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan alatan khas menyelamat.
Mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pihak KKM dan diserahkan ke pihak polis.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Mazlan Mohamad tamat jam 2.40 pagi.
