PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman mengesahkan kesemua rakyat Malaysia yang berdaftar di negara itu selamat susulan insiden tembakan yang berlaku berhampiran sebuah masjid di kawasan Wadi Al Kabir, Muscat, Oman pada Selasa lalu.

Wisma Putra memberitahu, kedutaan terus memantau rapat perkembangan insiden itu dan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi konsular.

"Malaysia tetap dengan pendirian yang menolak segala bentuk jenayah dan ekstremisme keganasan serta menyeru agar pelaku dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Wisma Putra turut menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mangsa, rakyat Oman dan kerajaan Kesultanan Oman.

Insiden itu menyebabkan sembilan individu terbunuh, termasuk seorang anggota polis dan tiga suspek yang melakukan serangan, manakala 28 orang lagi cedera.

Untuk maklumat atau pentanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Muscat di talian +(968) 2469 8329, +(968) 7159 2388 atau e-mel mwmuscat@kln.gov.my.