KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri hari ini mengaku bersalah di dua Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daish pada Mei lepas.

Muhammad Fesool Haron, 35, mengaku bersalah di hadapan Hakim K. Muniandy terhadap pertuduhan memiliki satu rakaman video, 10 video dan lima tangkap layar berkaitan kumpulan pengganas Daish, yang ditemukan dalam telefon bimbitnya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di kawasan perindustrian Kempas, Johor Bahru pada kira-kira 1.10 tengah hari, 30 Mei.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau denda, serta pelucuthakan bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, Suhaini Sarwan, 46, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan memiliki artikel dan item berkaitan kumpulan pengganas Daish dalam telefon bimbit dan komputer ribanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kota Tinggi dan kawasan perindustrian Kempas, Johor Bahru, antara jam 1.15 petang dan 4.30 petang, 30 Mei.

Bagaimanapun, Suhaini mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Daish melalui aplikasi Facebook menggunakan akaun 'Suhaini Sarwan' dan 'Enma Kenma'.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 27 Mei dan dikesan Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, pada jam 5.50 petang hari yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan denda, serta perampasan mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam kesalahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 11 Dis ini untuk mendengar fakta dan menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Fesool, manakala 9 Jan depan bagi Suhaini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhurrazi Ahmad Salim.

Muhammad Fesool diwakili peguam N. Kanmani, sementara Suhaini diwakili peguam Sazlinidayu Kamarul Baharin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

-- BERNAMA