KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan capaian perbankan di 100 peratus mukim di seluruh negara pada tahun 2025. 

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, pihaknya mahu menyediakan pelbagai perkidmatan perbankan asasi kepada seluruh rakyat Malaysia di 899 mukim berkenaan. 

“Kami berada di tempat yang mempunyai akses kewangan yang terbatas. Hari ini kami sangat berbangga telah mencapai tahap keberadaan sehingga 98 peratus daripada 899 mukim di seluruh negara. 

“Harapan kami, tahun depan kami boleh capai 100 peratus. Kami ada 387 rangkaian bank seluruh negara dan lebih 2,000 ejen di pelbagai kedai serbaneka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI.

Agenda AWANI: BSN 50 years | Financial inclusion, fostering savings habit


Tambahnya, BSN juga menawarkan perkhidmatan perbankan unik melalui cawangan bank bergerak yang menyediakan perkhidmatan transaksi perbankan di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Menurutnya, ketika ini 10 cawangan bank bergerak beroperasi sepanjang minggu dan berada di kawasan yang mudah dikunjungi oleh para pelanggan.

"Bank bergerak ini dilengkapi Mesin Teler Automatik (ATM). Kita pandu bank bergerak ini ke kawasan pedalaman dan luar bandar. 

“Kita parkir di kawasan tersebut untuk beberapa jam sehari. Kami bolehkan orang ramai jalankan transaksi perbankan yang mudah, kemudian bergerak di destinasi berikutnya,” jelasnya.

Sempena ulang tahun ke-50 BSN juga, Jay memaklumkan BSN turut meraikan jutawan ke-106 yang terpilih melalui Sijil Simpanan Premium (SSP) BSN. 

Katanya lagi, BSN turut memastikan perkhidmatan yang ditawarkan benar-benar meliputi segenap kumpulan lapisan masyarakat demi memenuhi mandat penubuhan organisasi berkenaan.

Oleh itu, Jay berkata BSN turut mengorak langkah menerajui perkhidmatan pembiayaan kepada kumpulan usahawan yang paling sukar mendapatkan perkhidmatan pembiayaan iaitu usahawan mikro.

"Inklusif juga bermaksud melibatkan usahawan mikro. Hari ini BSN merupakan peneraju pasaran dengan menyediakan 64 peratus pembiayaan mikro untuk industri. 

“Apabila kita sebut tentang perniagaan mikro, kita sering sebut tentang persoalan mendapatkan pembiayaan. Ini tidak salah memandangkan pembiayaan merupakan aspek yang penting bagi kami. 

“Tetapi hal menjadi keprihatinan kami adalah soal bagaimana untuk membangunkan usahawan mikro ini menjadi usahawan kecil dan sederhana,” tambahnya.

BSN ditubuhkan pada 1 Disember 1974 dengan mandat yang jelas untuk mendorong pertumbuhan simpanan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyokong pembangunan negara. 

Sejak dilancarkan oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, BSN berterusan memenuhi matlamat terangkum ini dan menerapkan prinsip korporatnya iaitu ‘Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan’.