Demikian luahan bekas pengadil bola sepak Malaysia Subkhiddin Mohd Salleh yang kecewa melihat perkhidmatan aerotrain tidak beroperasi sehingga menyebabkan penumpang perlu menaiki bas untuk ke imigresen dan terminal domestik.
“Ciapan saya di Twitter bukan berniat memalukan mana-mana pihak. Saya hanya luahkan kekecewaan penumpang di KLIA yang rata-rata membawa anak kecil.
“Bayangkan ada yang bawa stroller anak, angkat ke shuttle bus yang disediakan tetapi dengan keadaan yang agak sesak, saya lihat banyak wajah kecewa bila dapat tahu aerotrain tidak beroperasi,” katanya kepada Astro AWANI.
Subkhiddin yang baru pulang dari Korea Selatan kelmarin memaklumkan gembira apabila ciapannya mendapat maklum balas dari Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
“Di Twitter, saya menulis Datuk Seri Anwar Ibrahim, KLIA adalah imej negara. Tolong minta yang berkenaan baiki perkhidmatan train KLIA, asyik sangkut saja.
“Tak sangka ciapan saya mendapat respon cepat dari YB Anthony. Saya berharap isu ini selesai secepat mungkin kerana imej lapangan terbang antarabangsa perlu dijaga sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, di ruangan Twitter Anthony Loke menerima aduan berkenaan serta memaklumkan masalah aerotrain tidak beroperasi dalam perhatian beliau.