KUALA LUMPUR: Dua buah menara kawalan trafik udara jarak jauh atau remote air traffic control (ATC) akan dibangunkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada tahun depan sebagai usaha meningkatkan kecekapan operasi serta keselamatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Norazman Mahmud berkata, inisiatif itu menggunakan teknologi canggih yang membolehkan kawalan trafik udara mampu dilakukan tanpa kehadiran fizikal pegawai di menara kawalan sementara operasi akan disentralisasikan di pusat kawalan yang ditetapkan.

"Di Semenanjung Malaysia, pusat kawalan akan ditempatkan di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur yang terletak berhampiran lapangan terbang antarabangsa, manakala Sabah dan Sarawak akan mempunyai pusat masing-masing di Kota Kinabalu dan Kuching.

"Sistem ini telah pun dilaksanakan di Eropah, termasuk di Lapangan Terbang Bandaraya London, di mana kawalan trafik udara dilakukan secara jarak jauh dari lokasi hampir 200 batu. Sistem ini telah diperakui oleh pihak berkuasa dan terbukti selamat," katanya  kepada pemberita selepas majlis penghargaan media serta sesi perkongsian A Look Into The Aviation Industry in 2025 di sini, pada Jumaat.

Norazman menambah, teknologi itu sesuai untuk lapangan terbang yang mempunyai laluan trafik sederhana dan rendah tetapi pada ketika ini dilihat masih kurang praktikal untuk lapangan terbang dengan kapasiti tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Selain itu, penggunaan teknologi menara kawalan jarak jauh ini adalah langkah perlu kerana sistem menara tradisional akan menjadi usang apabila alat gantinya tidak lagi dihasilkan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun. Oleh itu, ini adalah masa depan pengurusan trafik udara,” katanya.

Menurutnya, projek di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada inisiatif ubah suai terminal Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

"Menara kawalan sedia ada akan dirobohkan untuk memberi ruang kepada naik taraf  terminal. Kami pernah mencadangkan dua tahun lalu mengenai idea menara kawalan digital jarak jauh kepada MAHB, dengan menekankan kelebihan teknikalnya. Jadi mereka bersetuju, dan kami (CAAM) akan bertindak sebagai penasihat teknikal," jelasnya.