KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak menerima sebarang laporan mengenai kewujudan ajaran sesat Millah Abraham di negeri itu, setakat ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Kelantan belum menerima sebarang laporan mengenai kewujudan ajaran sesat Millah Abraham di negeri itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud.
  • Dengan penguatkuasaan ketat di peringkat kerajaan negeri, pengaruh ajaran sesat di Kelantan terkawal, dan masyarakat diminta segera melaporkan sebarang kegiatan ajaran sesat kepada pihak berkaitan.
  • Pada 2017, Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah memutuskan bahawa ajaran Millah Abraham adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud berkata dengan adanya penguatkuasaan ketat di peringkat kerajaan negeri, pengaruh ajaran sesat di Kelantan terkawal.

"Kita seru masyarakat sekiranya terdapat kelompok ajaran sesat, segera maklumkan kepada pihak berkaitan sebab ia boleh memberi kesan, juga dengan adanya media sosial, ia (ajaran sesat) dilihat semakin bertambah dan berani," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 2017 memutuskan fahaman dan ajaran Millah Abraham adalah menyeleweng serta bertentangan dengan ajaran Islam.

Khamis lepas, media melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan tiga beranak disyaki pengikut ajaran sesat difatwakan haram iaitu Millah Abraham setelah dikesan merekrut dan menyebarkan ajaran itu kepada keluarga terdekat serta penduduk setempat, selain dipercayai telah aktif lebih setahun.

-- BERNAMA