Ringkasan AI
- Seorang pesara bomba, Zolekafeli Abd Ghani, dipenjara enam bulan dan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah kerana mengajar ajaran salah berkaitan Ahmadi Religion of Peace and Light kepada anaknya.
- Dia didakwa mengajar bahawa Abdullah Hashim adalah Imam Mahdi ketiga dan menyatakan al-Quran ditokok tambah oleh Saidina Umar, serta mengizinkan perkahwinan adik-beradik secara biologi.
- Walaupun memohon hukuman ringan atas alasan kesihatan dan tanggungan keluarga, mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kesalahan tersebut dianggap serius dan boleh menjejaskan akidah umat Islam.
Hakim Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap Zolekafeli Abd Ghani, 60, selepas dia membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan dibacakan secara berasingan, selain memerintahkan penjara dua minggu bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Lelaki itu didakwa mengajar ajaran salah kepada anaknya berumur 30 tahun, yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu dengan menyatakan Abdullah Hashim adalah Imam Mahdi yang ketiga dan ajaran itu mendakwa roh Allah ada pada Abdullah Hashim.
Selain itu, dia turut didakwa mengajar ajaran salah kepada individu sama dengan menyatakan al-Quran ditokok tambah oleh Saidina Umar, selain menyatakan perkahwinan adik beradik dibenarkan dengan syarat kahwin secara biologi dan bukannya roh.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Ampangan di sini antara 2 hingga 4.40 petang pada 12 Okt, mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan menghidap kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung, selain perlu menanggung tiga anak yang masih belajar.
Bagaimanapun, Pendakwa Syarie Azizudin Abdullah Halim dan Zarul Izham Jaafar memohon mahkamah mengenakan hukuman lebih berat, berikutan kesalahan itu sangat serius dan boleh menjejaskan akidah umat Islam.
"Sekiranya hukuman rendah diberikan, saya khuatir masyarakat tak ambil serius terhadap kesalahan sebagaimana dilakukan tertuduh. Ajaran sesat ini aktif di pelbagai platform media sosial, mempunyai 30,000 pengikut selain menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi.
"Ajaran ini bukan ajaran biasa, malah ramai jadi pengikut terutama rakyat Malaysia, oleh itu hukuman sewajarnya perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada orang awam supaya tidak terpengaruh dengan ajaran sesat dan kesyirikan yang membawa kepada dosa besar," katanya.
-- BERNAMA