KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memantau secara dekat lapan ajaran sesat yang didapati wujud di seluruh negara selain melibatkan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd.


Ringkasan AI
  • Kerajaan memantau lapan ajaran sesat di seluruh negara dan sedang melakukan risikan serta siasatan terhadap 12 ajaran sesat lain.
  • Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS) telah diaktifkan semula untuk menangani isu ini.
  • Operasi bersepadu bersama agensi-agensi persekutuan dan negeri termasuk PDRM sedang dijalankan dalam siri Op Global untuk menghapuskan tarekat sesat.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan berkata, kerajaan juga sedang melakukan risikan dan siasatan terhadap 12 ajaran sesat.

“Sebenarnya untuk memberikan jaminan, mungkin itu di luar bidang kuasa kita untuk memberikan jaminan.

“Namun untuk memberikan usaha berterusan dan mantap agar dapat memelihara akidah itu sedang kita jalankan.

“Itu yang saya maklumkan bahawa kita telah mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS).

“Selain itu, kita juga melihat aspek lain iaitu pemulihan dan pencegahan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu, ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN - Jelebu) yang bertanya tindakan tegas kerajaan dalam menangani isu ajaran sesat di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh akidah dan pegangan umat Islam, termasuk ahli-ahli GISB.

Jelasnya, ia dilakukan melalui pembudayaan ilmu, pentarbiyahan dan program pengukuhan akidah yang komprehensif dan berkesan.

“Langkah drastik kerajaan untuk menghapuskan tarekat ini ialah menerusi operasi secara bersepadu bersama agensi-agensi persekutuan dan negeri termasuk PDRM dalam siri Op Global dengan melibatkan perundangan yang berbeza.

“Di peringkat negeri, penyelarasan operasi Op Global turut melibatkan penguat kuasa agama negeri-negeri.

“Melalui Op Global ini, banyak bahan bukti terkait akidah diperolehi. Di samping tindakan bersepadu, pelan tindakan pemulihan juga dilaksanakan kepada ahli GISB.

“Usaha ini dilakukan secara kolaborasi bersama Jakim dan kementerian serta agensi-agensi lain,” ujarnya.