KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai di kementerian itu yang terlibat dengan pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya bersedia memberikan kerjasama sekiranya terdapat sebarang siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mana-mana pegawai.

"Kita di KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sesekali tidak akan berkompromi dengan soal-soal menyalahi tata kelola. Kita memang tegas dalam perkara ini," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Laman Media di Perhimpunan Agung UMNO 2024, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai pembongkaran sindiket membawa masuk pekerja asing melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa yang dipercayai didalangi beberapa individu daripada agensi penguat kuasa dengan 12 individu telah ditahan menerusi Op Pump yang dijalankan SPRM di beberapa lokasi di seluruh negara.

Mereka yang ditahan termasuk empat pemilik syarikat, tiga orang awam dipercayai menguruskan kemasukan warga asing dan lima penguat kuasa bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh semalam dilapor berkata lima pegawai jabatan itu ditahan SPRM di KLIA.

-- BERNAMA