Malaysia merekodkan lima kes baru positif COVID-19 setakat jam 12.00 tengah hari pada Khamis namun semuanya adalah kes import, dan tiada kes penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara itu melibatkan dua warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

Berikut adalah lima perkara penting dalam kenyataan media Noor Hisham pada 20 Ogos 2020:

1) Sehingga 20 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat lima (5) kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,240 kes.

2) Tiada kes penularan di dalam negara yang dilaporkan pada hari ini. Semua kes baharu yang dilaporkan adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

3) Terdapat tujuh kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,932 kes.

4) Satu kluster baharu yang telah terpencil (isolated), yang telah dikenal pasti di sebuah kapal di Bintulu, Sarawak, sebanyak empat kes positif telah dikesan di atas kapal tersebut.

5) Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, jumlah kematian kekal 125.