KUALA LUMPUR: Tiada bukti mengaitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan suami terlibat dengan kegiatan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pemeriksaan polis mendapati tiada pelaburan dibuat beberapa individu termasuk Dr Mashitah di luar negara yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.

Menurut beliau, itu berdasarkan hasil analisis beberapa akaun bank individu yang mendapati wang dalam akaun itu merupakan wang simpanan.

“Sebelum ini, kita ada mengesahkan keberadaan ahli politik itu bersama suaminya serta tiga lagi individu ke Myanmar untuk urusan pelaburan hartanah namun siasatan mendapati tiada sebarang pelaburan dibuat.

“Setakat ini, seramai 11 individu telah diambil keterangan berkaitan kes tersebut,” katanya pada Sabtu.

Tambah Razarudin, siasatan polis setakat ini masih belum terdapat pembuktian kukuh membabitkan sindiket pemerdagangan manusia, namun sedang menyiasat peranan seorang Datuk Seri disyaki sebagai dalang dalam mengenal pasti pelabur-pelabur yang berpotensi untuk melabur di Myanmar.

“Kita juga menyiasat peranan lelaki disyaki mengambil kesempatan untuk menjana keuntungan daripada pelabur-pelabur yang berjaya dipujuk.

“Ini juga bagi mengenal pasti perhubungan antara beberapa individu serta dua ahli perniagaan rakyat China,” ujarnya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan polis sedang melakukan analisis dan penelitian terhadap kedudukan kewangan beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung kes yang dikaitkan dengan Dr Mashitah.

Polis turut melakukan semakan penerbangan bagi melihat pergerakan ke luar negara khususnya Myanmar oleh individu yang disiasat terutamanya.

Dr Mashitah sebelum ini juga telah menafikan beliau terbabit dalam kegiatan itu.

Berikutan itu, Dr Mashitah juga dilaporkan sudah membuat laporan berkaitan tuduhan berkenaan selain telah memberi keterangan di Bukit Aman. -- Sinar Harian