KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan Pelan Integriti TH 2023-2027 bagi memperkukuhkan tadbir urus korporat serta meningkatkan nilai integriti dan profesionalisme dalam kalangan warganya.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Pelan Integriti TH 2023-2027 tersebut mengandungi tiga pendekatan utama iaitu Dasar dan Tabir Urus, Nilai dan Etika, serta Akhlak dan Budaya, dalam proses mencapai Maqasid Syariah dan misi TH.

Selain itu, bagi memerangi gejala rasuah TH turut menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), yang disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman dalam kenyataan sama berkata sebagai institusi yang mengurus tadbir aset umat Islam di negara ini, setiap warga TH harus memikul amanah besar, dengan setiap urusan perlu mengambil kira kebajikan para pendeposit dan jemaah haji selari dengan peruntukan akta.

"TH ialah sebuah badan yang sentiasa menjadi tumpuan umum dan bertanggungjawab menguruskan simpanan serta perjalanan haji umat Islam Malaysia. Secara tidak langsung, menjadi kewajipan TH untuk memastikan integriti didokong oleh seluruh warga di pelbagai peringkat.

"Bagi memenuhi tanggungjawab ini, pihak TH secara sistematik meneruskan usaha pembudayaan, pendidikan dan penerapan takrifan rasuah dan integriti, mengikut fasal perundangan yang terkandung dalam insiatif Pelan Integriti Nasional," kata Syed Hamadah.

Sementara itu, Azam dalam kenyataan sama berkata Pelan Integriti TH ialah satu inisiatif yang membuktikan kesungguhan dan komitmen warganya, dalam menyokong usaha dan aspirasi SPRM dalam memerangi gejala rasuah, serta memastikan amalan tadbir urus yang baik semasa pelaksanaan tugasan harian.

"Penzahiran komitmen Pengurusan TH melalui Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Pelan Integriti ini amat penting, bagi menunjukkan pendirian pengurusan tertinggi organisasi berkaitan pencegahan rasuah.

"Saya amat berharap program pada hari ini bukan bersifat one-off dan akan disusuli dengan pelbagai tindakan pengurusan tertinggi TH dalam usaha meningkatkan integriti warga TH," kata Azam.

Lafaz ikrar IBR itu disertai seramai 220 warga TH.

-- BERNAMA