KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menyatakan komitmen penyertaan mereka dalam Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu jemaah haji terkandas dan penipuan pakej haji yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Ringkasan AI
  • Lembaga Tabung Haji (TH) komited menyertai Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menangani isu jemaah haji terkandas dan penipuan pakej haji.
  • TH akan menyediakan maklumat yang diperlukan bagi membantu siasatan pihak berkuasa mengikut undang-undang, dengan matlamat menghentikan penipuan berkaitan urusan haji secara menyeluruh.
  • Pasukan Petugas Khas akan bekerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk polis, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dan pihak berkuasa Arab Saudi untuk menangani aduan dengan lebih efisien dan berkesan.


Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata TH akan menyalurkan segala maklumat yang diperlukan untuk proses siasatan yang dijalankan pihak berkuasa mengikut kuasa dan lunas undang-undang yang bersesuai.

"Matlamat Pasukan Petugas Khas adalah untuk menangani isu ini sebaik mungkin secara bersepadu, sekali gus membantu menghentikan kesalahan dan kes penipuan berkaitan urusan haji di negara ini secara tuntas," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Syed Hamadah menjelaskan isu berkaitan jemaah haji terkandas, penipuan pakej haji dan kesalahan penggunaan visa boleh melibatkan pelanggaran peruntukan di bawah undang-undang berbeza dan di bawah bidang seliaan pihak berkuasa dan agensi yang berbeza.

Ini termasuklah TH, polis, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan pihak berkuasa Arab Saudi, katanya.

Pada 30 Mei lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan polis menubuhkan pasukan petugas khas itu, yang akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan selanjutnya diambil.

Pasukan petugas khas yang berperanan menyiasat dan melakukan tindakan awal terhadap sebarang aduan berkaitan isu tersebut, supaya ia dapat ditangani dengan lebih efisien dan berkesan.

-- BERNAMA