Ramai pemandu teksi berkeputusan untuk meneruskan kadar baharu tambang meskipun Kabinet sudah meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menangguhkan kenaikan tersebut.

Tinjauan Astro AWANI di kawasan Pandan Indah rata-rata mendapati hampir separuh dari pemandu teksi sudah pun menyelaras meter mereka kepada kadar baharu berikutan pengumuman SPAD pada Jumaat yang mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi perkhidmatan teksi yang berkuatkuasa serta merta.

Menurut mereka, ini kerana tiada arahan baru dari pihak SPAD berhubung perkara ini, oleh itu berkeputusan meneruskan kadar tambang baharu itu.

"Sepatutnya kita kena teruskanlah, akan teruskan sebab arahan SPAD untuk memberhentikan setakat ini belum ada lagi," kata pemandu Teksi 1Malaysia (Teks1M), Taib Muhammad Amin.

Ditanya sekiranya SPAD berkeputusan untuk akur dengan Kabinet bagi tidak menaikkan harga tambang, adakah ianya akan menyusahkan pemandu teksi.

Katanya, ia tidak menjadi masalah kerana mereka sentiasa patuh dengan arahan SPAD.

"Kalau tiba-tiba SPAD akur dengan kabinet, tidak ada masalah. SPAD pihak adalah yang mengendalikan jalan kerja kita, jadi kita tidak akan melawan, dan ini untuk kebaikan semua," katanya.

Bagaimanapun, menurut Taib, SPAD dan Kabinet haruslah berbincang dengan teliti terlebih dahulu dan mencapai kata putus yang muktamad supaya ianya tidak menyusahkan pemandu.

Katanya proses menyelaras meter teksi agak menyusahkan kerana mereka terpaksa menunggu hampir satu hari untuk menunggu giliran, selain membayar kosnya yang mencecah RM106 dicampur dengan kos pengesahan di Puspakom sebanyak RM55.

Berikut adalah beberapa lagi reaksi pemandu-pemandu teksi berhubung keputusan Kabinet pada Sabtu (klik video):


Kabinet pada Sabtu telah meminta SPAD supaya menangguhkan kenaikan tambang pengangkutan awam kerana tidak sesuai dilaksanakan ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sebagai berkata, kerajaan mengakui SPAD mempunyai asas yang kukuh untuk berbuat demikian namun perkara itu tidak sesuai dalam keadaan ekonomi sekarang.

SPAD pada Jumaat, mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi perkidmatan teksi akan berkuatkuasa dengan serta merta manakala bagi bas ekspres pula, bermula pada 15 Mei ini.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, penetapan kadar baharu itu adalah berikutan berlakunya kenaikan kos termasuk penyelenggaraan, insurans dan kos sara hidup.

Pengumuman SPAD itu mendapat bantahan banyak pihak kerana ia membebankan rakyat dan dikatakan tidak sesuai pada masanya.