Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata negara itu telah melabur di Sarawak dalam industri yang sama dan akan terus memberikan komitmen untuk menyokong Malaysia dari segi pelaburan.
"Mereka memohon sokongan dan kerjasama kita untuk memberi perhatian kepada apa yang mereka akan tawarkan. Kita belum memberikan keputusan muktamad lagi (pada perjumpaan kali ini). Saya akan bawa balik untuk dapatkan keputusan di peringkat kerajaan," katanya.
Fadillah berkata demikian kepada media selepas sesi kunjungan hormat bersama delegasi Singapura, Vietnam, Brunei dan Jepun bersempena lawatan beliau ke Peru untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM), di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung selama dua hari dari 15-16 Ogos, 2024.
Pada Disember lepas, dilaporkan Sarawak akan mengeluarkan hidrogen hijau secara besar-besaran terutamanya untuk pasaran Jepun di bawah perjanjian tiga pihak yang ditandatangani antara Sarawak Economic Development Corp (SEDC) dan dua firma Jepun.
Mengenai kunjungan hormat tersebut, Fadillah berkata keempat-empat negara itu bersedia untuk memberi sokongan kepada perancangan Malaysia dalam pertemuan dua hala yang diadakan pada sebelah pagi dan juga tengah hari (Khamis).
"Pada sesi meja bulat negara-negara APEC pula, negara terlibat memberi pandangan bagaimana kita mahu menggerakkan strategi berhubung dengan peralihan tenaga iaitu bekalan tenaga bersih dan juga tenaga boleh baharu (RE) ini.
"Dan pada masa sama, bagaimana memastikan dari segi kemampuan ataupun keterjaminan bekalan tenaga, keselamatannya dan untuk memastikan tidak ada pihak yang ketinggalan," katanya.
Turut diperbincangkan dalam pertemuan itu adalah mengenai peluang kerjasama dalam pembangunan persijilan halal oleh Vietnam, pembangunan kapasiti dan pelaburan PKS (perusahaan, kecil dan sederhana) oleh Singapura dan penganjuran Mesyuarat Peringkat Menteri Ketiga Asia Zero Emission Community (AZEC) oleh Malaysia pada 2025.
Sementara itu, Fadillah juga berkata isu pelaksanaan akses pihak ketiga (TPA) berkaitan industri bekalan elektrik turut dibincangkan di mesyuarat menteri-menteri tenaga.
"Kita akan umumkan secara keseluruhannya pada September ini. Ramai yang berminat dengan TPA dalam industri bekalan elektrik ini. Jadi kita akan membuat sesi dialog industri pada 22 Ogos ini bagi mendapatkan maklum balas daripada pemain industri," katanya.
Mesyuarat itu dihoskan oleh Peru sebagai Pengerusi APEC 2024, dan dirasmikan Menteri Tenaga dan Perlombongan Peru Romulo Mucho, merupakan pertemuan tertinggi menteri-menteri ekonomi APEC yang bertanggungjawab terhadap pembangunan tenaga.
Peru selaku pengerusi telah menekankan kepentingan tenaga dalam memacu kemajuan dan keperluan tindakan kolektif untuk mengurangkan ancaman perubahan iklim yang dikaitkan dengan kesan penjanaan tenaga semasa.
Mesyuarat itu turut mengambil maklum pencapaian serta status pelaksanaan inisiatif dan projek APEC Energy Research Centre (APERC) dan APEC Sustainable Energy Centre (APSEC).
-- BERNAMA